Friday, 19 February 2010

Mengapa???

Pernahkah anda terfikir sesuatu yang diungkapkan boleh menjadi suatu tusukan yang mencederakan keindahan sesuatu 'hati'? Mungkin tidak! Sememangnya, kita selalu beranggapan sesuatu yg dinyatakan sebagai berseloroh seharusnya disifatkan berseloroh sahaja. Namun sebaliknya yang berlaku. Disebabkan ketajaman tusukan yang diberikan, kata-kata seloroh itu boleh menjadi satu 'pekong yang menanah' di kemudian hari.

Mungkin aku terlalu mengikut perasaan, mungkin kerana jangkauan usia yang telah menyinggah ke petang membuat ku mudah terasa....ada banyak betul kemungkinan! Tapi yang pastinya, aku terasa! Aku sedih...teramat sedih dengan kata-kata 'seloroh' itu! Maaf...buat hari ini ..bagiku tiada senyuman yang dapat menyerikan wajah ku yang sememangnya dah ku rasa kusam!

Sememangnya aku sedih sungguh! Adakah aku akan terus bersedih...mungkin untuk hari ini sahaja, tapi hakikatnya, kesedihan yang telah terpahat di dada akan terus terpahat dan tak dapat dipulihkan walaupun lukanya tiada kelihatan dan tak nyata.

Maaf..kamu sudah membuka jurang persepsi dihatiku ini...tiada mungkin boleh dijangkaui lagi!..
Maaf...aku tidak boleh menerimamu lagi!!!

Monday, 18 January 2010

Monday, 14 December 2009

Terlajak perahu.....

Memang benar kata orang-orang tua, mudah untuk menjaga sekandang kambing dari menjaga anak dara seorang! Lebih-lebih lagi anak dara yang sedang mengecap erti kebebasan dan kedewasaan. Tatkala inilah pengaruh rakan sebaya amat ketara.

Perhubungan yang sedia terjalin di antara ibu-bapa dengan anak remajanya akan tercabar pada ketika ini. Sekiranya perhubungan mereka baik maka kegeseran yang mungkin terjadi amatlah tipis. Tetapi, sekiranya sudah terdapat jurang di antara mereka, pada kala inilah jurang itu akan melebar dan pergeseran pasti akan berlaku. Akibatnya, mereka tidak sanggup bersua muka, bersapa jauh sekali. Yang anak akan menghilangkan diri dari pandangan atau pengawasan ibu-bapa mereka. Mereka akan terus hanyut bersama rakan yang menjadi tempat mereka mengadu dan meluahkan perasaan. Sekiranya rakan yang didampingi merupakan mereka yang baik-baik, maka terselamatlah anak itu.

Malangnya, tatkala inilah kebanyakan anak-anak muda sedang sibuk untuk mencuba perkara yang baru, perkara yang tidak terlintas semasa mereka masih lagi dibangku sekolah. Yang perempuan dan pandai main mata dan hati sementara yang lelaki melayan dan tunjuk macho...Di sebalik perbuatan mereka, tidak terlintas akan halal dan haram. Oleh kerana kebanyakan anak-anak muda melakukannya, maka apa jua perlakuan itu adalah okay bagi mereka!


Di manakah garis pemisahnya? Jawapannya....pendidikan agama yang telah diberi, tunjuk-ajar dan nasihat dari kedua ibu-bapa dan diri anak-anak itu sendiri. Bagi anak-anak muda ini, perlakuan mereka akan mencorak masa hadapan dan menentukan arah tuju penghidupan mereka. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata atau perbuatan badan binasa!


Mungkin ada yang menyatakan bahawa percaturan hidup yang dilakukan oleh anak-anak muda ini merupakan garis kitaran hidup seseorang individu dari awal mereka dilahirkan hinggalah ke akhir hayat mereka. Jadi, sudah pastinya mereka akan menempuh pelbagai situasi yang harus dirungkai sendiri!


Namun begitu, sebagai ibu-bapa yang telah matang, yang pernah melalui zaman remaja dan mengerti akan cabaran dan dugaan yang menggugat keimanan seseorang itu sudah pastinya ingin menjadi 'penyelamat' dan melindungi anak remaja mereka dari terjebak ke jalan yang tidak 'selamat'.


Tetapi, adakah tindakan ibu-bapa ini disenangi oleh anak-anak remaja ini? Tentu sekali TIDAK! Sebaliknya tindakan ibu-bapa ini sering disalah ertikan. Mereka dilabelkan sebagai 'tyrant' atau penzalim, diktator, pembuli, hipokrit dan ketinggalan zaman.


Memang adakalanya ibu-bapa terpaksa mendesak, berkeras dan menghalang anak-anak remaja mereka dari melakukan sesuatu tindakan. Semuanya atas dasar perasaan kasih mereka terhadap anak-nya. Mereka tidak mahu melihat masa depan anak-remaja ini punah atau dibayangi oleh lakaran hitam yang tidak mungkin boleh dipadamkan sepanjang hayat nanti. Jangan biar nasi menjadi bubur, walau pun patah tumbuh hilang berganti...ianya tidak akan serupa!


Buat anak-anak remaja di luar sana, ingatlah kasih-sayang ibu tiada batasnya. Ibu-bapa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Selagi nyawa dikandung badan, mereka akan cuba berikan segala-galanya. Pengorbanan mereka tidak bersempadan! Sayangi dan kasihi mereka sebab yang remaja akan meniti usia tua juga akhirnya.


Menggalas Impian....


Apakah hajat dan impian Tahun Baru kamu?

Persoalan ini sering kali dimajukan pabila muncul Tahun Baru, tidak kira apa bangsa sekali pun, ia tetap ditanya, tetap dirujuk dan disenaraikan. Tapi, adakah jawapan yang diberi benar-benar mencerminkan impian dan perancangan teliti yang akan dilaksanakan tatkala itu..atau pun ia merupakan jawapan spontan yang diberi tanpa mengambil kira keupayaan dan kerangka perancangan yang dibuat.

Apa yang pasti, tidak semua orang akan cuba menterjemahkan impian itu kepada satu bentuk perancangan yang boleh diguna pakai setelah mengambil kira beberapa faktor yang akan menentukan pelaksanaan dan kejayaan perancangan itu nanti. Dalam erti kata lainnya, hanya 10% sahaja impian yang dirakamkan akan dapat diterjemahkan dan mendatangkan hasil yang bersesuaian. Yang lainnya, tinggal sebagai impian semata-mata. Indah menjadi buaian mimpi di siang hari sekadar melepaskan batuk di tangga!

Yang pastinya, ketibaan Tahun Baru 2010 akan disambut dengan meriah sekali walaupun keadaan ekonomi masih belum menentu. Muda-mudi akan terus berpesta, berhibur dan dihiburkan dengan pelbagai majlis dan konsert menyambut Tahun Baru. Termasuk muda-mudi Islam akan dihanyutkan dalam denyutan irama Tahun Baru, tanpa perasaan segan-silu, tiada batasan halal dan haram! Asyik...memang sungguh mengasyikkan...!

Bagaimana pula dengan sambutan Tahun Baru Islam pula? Adakah, anak-anak muda Islam ini pernah terfikir untuk meraikannya dengan bermunajat,berqasidah, berzanji, berusrah atau menghadiri majlis-majlis ilmu? Jauh sekali!!! Selalunya majlis sedemikian akan dihadiri oleh orang-orang yang lebih dewasa, yang ‘terlebih matang’...jarang terjumpa anak-anak muda ..kalau ada pun boleh dihitung dengan sebelah tapak tangan sahaja!

Mengapa jadi sedemikian? Mereka rasakan diri masih muda, masih mempunyai banyak masa untuk bertaubat dan mendekati diri dengan Yang Maha Esa! Bagi mereka, usia muda adalah masa untuk menikmati kesemuanya supaya tidak menyesal di kala diri dimamah usia tua.

Hijrah 1431 akan mengapai beberapa hari lagi pabila Hijrah 1430 melabuhkan tirainya. Bagaimana dengan impian anda? Adakah akan dipanjatkan doa semasa itu atau pun tunggu 1 Januari baru dilakarkan?

Bagi diri ku...hasrat sudah tertanam ke dalam sanubari...buat diri dan keluarga. Hanya satu ku impikan buat negara yang tercinta!

Bertautlah kembali orang-orang Islam kepada satu, kepada Allah yang Maha Esa, tanpa dibatasi oleh fahaman politik. Usah dibayangi oleh perasaan syak wasangka dan tamak haloba yang boleh menjatuhkan sesebuah negara dan keluarga.

Bangunlah, lihat dan bermuhasabah agar tidak terleka dengan arus kebaratan yang asyik dikejarkan di atas tiket pemodenan. Yang terpesong, pulanglah ke pangkal jalan...yang lurus, maju terus ke hadapan dan jangan lupa untuk mengepit tangan mereka yang masih bertatih terhuyung-hayang!

Islam itu indah! Al-Quran itu pelengkap dan panduan buat umat Islam. Tiada kekurangan nya dan tiada ia ketinggalan zaman...! Jangan sesekali dibiarkan Islam dipersendakan dan dikotak-katikkan.

Buat semua... Selamat Melangkah ke Hijrah 1431, semoga sentiasa diberkati dan ditunjukkan jalan yang benar lagi lurus!


Amin....


Thursday, 10 December 2009

pucuk dicita.......

Sememangnya zaman remaja begitu indah sekali. Masa itulah kita mula belajar untuk mengenali diri, belajar berkenalan, rakus dengan keinginan, tidak mengenal erti kesabaran. Ya! zaman remaja memang banyak pancaroba.

Melihat telatah anak-anak yang meningkat dewasa, aku sering tertawa dan terkedu! Iyelah..ada kalanya tindakan mereka membuat kita kurang selesa, nak dipulas telinga ...dah tua, disebat... mereka lagi besar dari kita, nak dimarahi ...merajuk pula..kalu lari dari rumah..mampus kita!!! Heh...heh...heh!

Tapi..kalu berkias..mana mereka nak faham! Jadi yang terbaik, kita bersemuka dan terus menyatakan perasaan kita, pendapat kita ..walaupun tidak diminta. Sebabnya..kita adalah ibu bapa yang sering prihatin akan mereka dan ingin memastikan mereka tidak terbolos ke dalam lubang yang digali tanpa disedari!

Biasalah..kalau anak terjatuh..ibu akan terus menerpa, takut anak-anak tercedera...Memang naluri ibu sebegitu rupa!

Ada kalanya, keprihatinan ibu bapa disalah ertikan. Pelbagai tuduhan dilemparkan sama ada secara lahiriah atau sebaliknya, kesannya masih serupa. Terhiris hati juga...walau sedikit...pedih seperti jari yang luka tercucur pula garam yang halus..pedihhhhhhh!!!

Tapi ..pada masa yang sama mereka menjadi penghibur kita. Gelak-tawa, sakat-menyakat adalah perkara biasa. Memang tak kering gusi dibuatnya. Apabila mereka tiada di sisi terasa sangat kehilangan mereka.

Begitulah perasaan ibu bapa kita semasa kita muda-remaja!

Hanya satu harapan dan peringatan buat semua muda-remaja. Sebelum terbujur-kaku dan pintu taubat tertutup buat selama-lamanya, ingatlah......dosa dan pahala bukan perkara mainan, hidup bukan menongkat langit, amalan dan iman pakaian setiap insan! Jangan sekali-kali tergegar tiang seri keimanan itu...buruk padahnya!


Wednesday, 9 December 2009

Kerana Nila Setitik....

Mereka masih lagi tidak insaf! Masih lagi membutakan mata dan hati malah data pemprosesan minda turut dibekukan. Mengapa? Masih tidak cukup lagikah pengorbanan yang telah dilakukan oleh kita, orang-orang Melayu dan beragama Islam! Dimanakah maruah kita?

Benar...kita orang Islam! Kita harus banyak bersabar dalam menempuhi dugaan dan cabaran polemik politik yang menggugat kesetiaan insan yang bernama anak MALAYSIA, anak MELAYU JATI yang kasihkan negara yang tercinta. Tapi...sampai bilakah kita harus mendiamkan diri tanpa menyatakan pandangan diri, hasrat sebenar yang terkandung didalam hati! Sampai bila???

Adakah kita perlu tunggu sehingga dijajah baru kita akan masuk gelanggang dengan bunga-bunga silat semula? Kenapa? Mahu menunjuk langkah perwira, agar nama dijulang apabila berjaya menundukkan 'mereka-mereka' yang dikatakan 'pembawa bencana'???

Hah! Sememangnya Melayu mudah lupa! Lupa akan segala penat-jerih pahlawan -pahlawan yang berperang menuntut kebebasan negara! Lupa akan segala titisan darah yang membasahi bumi merdeka ini.

Sejarah pastinya akan berulang! Tapi kali ini, janganlah harap ianya akan menyebelahi kita, orang-orang Melayu. JANGAN HARAP!

Cuba lihat sekeliling kita. Berapa ramaikah orang-orang Melayu yang bersedia untuk melanggani kedai-kedai milik orang Melayu itu sendiri? 100..200...500...1000??? Kita boleh kira dengan jari sebenarnya!

Orang-orang Melayu sendiri lebih gemar melanggani kedai bangsa asing. Tengoklah yang berderet membanjiri kedai mamak Kayu Nasi Kandar atau Pelita Nasi Kandar. Ada juga yang sanggup menghabiskan duit dikedai Kopitiam, tak kiralah kepunyaan siapa...asalkan kopitiam. Yang rasa diri mereka "bourgeois" atau Melayu Moden yang trendy pula akan menghiasi ruang-ruang Starbucks atau Coffee Beans. Itu namanya Melayu!!!

Tapi..apa jadi dengan kedai-kedai anak watan kita? Ianya akan menjadi popular sekiranya terdapat artis-artis yang sedang 'top' bersidai disitu...itu pun untuk sementara waktu sahaja. Yang lainnya...lenggang...selenggang-lenggangnya! Sebab, kedai Melayu tu kecil, tak ada kelas!

Kalau orang Melayu sendiri tidak mahu menaikkan perniagaan bangsanya sendiri, siapa lagi? Cuba tengok bangsa Cina cukuplah! Mereka akan sentiasa melanggani kedai sebangsa mereka. Sebabnya? "Kalau Gua tak lak beli barang dia, sapa mau beli o! Orang Cina , mesti tolong orang Cina juga o! Ta lak kila, MCA ka, DAP ka, Gerakan..sume sama juga o...orang Cina!"

Hakikatnya begitulah bangsa asing memartabatkan bangsanya sendiri! Tapi Melayu............???

Masakini, kita disuruh lagi 'bersedekah jariah', menjual satu-satunya harta yang sekiranya digadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. KEISTIMEWAAN BUMIPUTRA, HAK ORANG MELAYU dan KEDAULATAN KESULTANAN MELAYU!!!

Demi kesamarataan katanya, orang Melayu disuruh menggadaikan semua itu. Semuanya atas nama Semangat 1Malaysia!

Adakah ini wajar? Mengapa kita harus melemparkan segala hak-hak orang Melayu yang diperjuangkan selama ini oleh pejuang Bangsa yang akhirnya termaktub di dalam perlembagaan negara begitu sahaja? Siapakah kita! Apakah pengorbanan mereka itu sia-sia belaka dan tiada nilai sesen jua? Apakah erti kemerdekaan sebenarnya?

Semangat 1Malaysia sepatutnya berpaksikan perpaduan, saling-hormat menghormati di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kaum, agama dan budaya. Seharusnya, kita saling berpegang teguh kepada rasa semangat anak Malaysia, bukan menuntut sesuatu bangsa itu menggadaikan sebahagian dari hak-hak mereka.

Cuba fikirkan, siapa yang akan membela nasib anak-anak Melayu sekiranya hak-hak mereka dilupuskan? Ahli politik Melayu? UMNO...PAS...??? PKR...jauh sekali! Siapa???

TIADA! NADA! ILLEK! NEHI! NONE! ZILCH! PU!

Tiada seorang pun yang akan sanggup ke hadapan! Semuanya akan menikus, semuanya menjadi Pak Turut, ikut sahaja cakap ketua...seperti lembu dicucuk hidung, menurut sahaja! Bukan apa, sebenarnya orang-orang Melayu sangat takut dengan bayangan mereka sendiri, lebih-lebih lagi ketua politik! Mereka takut akan kehilangan pengikut, takut... tiada orang yang akan mengundi mereka, takut... kalah pilihan-raya! Kerana ketakutan inilah mereka sanggup mengorbankan hak anak bangsa sendiri.

Siapa yang untung? Sudah pastinya bukan orang Melayu! Semua bangsa... melainkan Melayu. Cina, India, Banggela, Indonesia, Kemboja, Siam....apa bangsa jua...melainkan Melayu!

Kemana perginya orang Melayu? Hilang dimamah bangsanya sendiri yang menjual harga diri! Manakan tidak, atas Semangat 1Malaysia jua, bangsa Melayu berperangan sesama sendiri walaupun seagama! Atas semangat ini jua, orang-orang Melayu sama seperti Hamas dan.....

Kenapa UMNO dan PAS umpama anjing dengan bayang-bayangnya? Kenapa tidak bersatu atas nama 1Malaysia, Islam dan Orang Melayu?

Sekiranya polemik ini tidak dicaturkan memihak kepada 1bangsa dan 1Agama, alamatnya...tiada lagi Malaysia merdeka yang diamanahkan kepada kita. Sebaliknya, akan terdapat satu Republik yang baru...Republik Malaysia!

Apakan tidak, kedaulatan Sultan sanggup disoal, dibawa berdebat tanpa segan-silu, dicerca dan dihina begitu rupa! Suatu masa dahulu, perkara sebegitu tidak akan terjumpa...maruah raja dijaga! Namun tidak lagi!!!

Bukan itu sahaja, agama islam juga dipersenda! Mengapa?

Tepuk dada tanya selera!!!

Sekiranya ketua-ketua masih lagi dibuai rasa selesa, saling melepaskan tembolok mereka sahaja, lupa amanah dan lupa pegangan....maka tergadailah bangsa Melayu, tergadailah martabat raja dan tergadailah negara yang dinama Malaysia.

Kita akan 'terjajah' semula! Menjadi bahan ketawa sebagai bangsa yang tidak berwibawa! Siapa kata Melayu tidak akan hilang didunia? Kita yang menanam diri anak bangsa...kita yang membiar sejarah berulang semula!



Nukilan rasa ini hanyalah sebagai satu NOTA KESEDARAN buat anak-anak bangsa yang masih leka berada di dalam kotak keselesaan mereka. Anjakan paradigma diperlukan untuk menjadi sebuah bangsa yang berwibawa. Ianya tidak ditujukan kepada lain-lain kaum hanyalah buat orang-orang Melayu yang masih lena