Monday 11 May 2009

Catatan Perjalanan

Seperti biasa bila tiba cuti semester sudah semestinya ku dan suami akan ke Pantai Timur untuk menjemput anak terunaku pulang. Oh ya! anakku menuntut di salah sebuah institusi tinggi di Pantai Timur. Bukannya dia tidak boleh pulang sendiri tapi memandangkan naluri seorang ibu yang sentiasa inginkan sesuatu yang terbaik untuk anaknya dan tak sanggup melihat anaknya persis gajah membawa lada maka ku telah memanjangkan langkah ke Terengganu.

Seronok...sudah pasti! Ku sememangnya suka berjalan...setahuku sejak dalam rahim ibuku lagi sudah jauh merantau. Jadi darah perantauan telah jadi sebati buatku. Begitu juga bila dewasa, ku telah menjelajah jauh dan menikmati pelbagai ragam kehidupan. Semuanya menjadi satu rempah-ratus kehidupan buatku!

Berbalik semua kisah perjalananku tadi ke Terengganu...Adalah menjadi kebiasaan bagiku untuk memulakan perjalanan pada sebelah malam kerana suasana yang lebih dingin, trafik pun kurang di lebuh raya. Mengikut anggaran masa, kami akan tiba di Kuantan jam 2:00 pagi. Lazimnya, kami telah buat perancangan untuk singgah di Indera Mahkota dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan di sebelah pagi nanti.

Tapi "manusia hanya merancang Tuhan juga yang menentukan!" Itu yang terjadi....puas juga suamiku menalipon adiknya setiba di depan rumahnya! Walaupun bertalu-talu kami menalipon, tiada lansung reaksi yang menunjukkan yang mereka telah terjaga dari buaian mimpi....alahai!!! Persoalan yang ditimbul suami ku samada hendak terus tunggu disitu ataupun meneruskan perjalanan. Apa lagi..ku terus bagi paku buah keras....hahahaha! Kan dah ku bilang, kita bertolak saja pada pukul empat pagi bukan pukul sebelas malam...buat menyusahkan adiknya saja yang sudah tentu penat, maklumlah hari bekerja katakan! Begitulah reaksi ku bila mengorak pembukaan kata...tapi selepas tu ku cadangkan untuk bermalam saja di Kemaman. Suamiku pula minta tunggu 30 minit lagi sebelum meneruskan perjalanan, mana tahu kot adiknya tersedar bila dia mendail sekali lagi.

Cukup 30 minit, kami pun beredar dan terus menuju ke Kemaman. Pada mulanya suamiku ingin terus saja ke Dungun yang pada jangkaannya kami akan sampai jam 5:30 pagi. Ku membantah. Kataku lebih baik berehat di Chukai dan pada paginya baru bertolak ke Dungun. Pabila dia melihat ku benar-benar hendak rehat di Chukai, dia mengalah dan mencari tempat penginapan di Hotel Seaview, Chukai.

Hotelnya sederhana saja, tidak seperti yang biasa ku menginap tapi memandangkan hendak bermalam buat seketika saja, memadailah! Lagipun kos penginapan hanya RM80 setelah dicampurkan dengan caj servis. Kami boleh check-out pukul 3:00 petang. Oraitle tu!

Masuk saja ke bilik, ku terus baring di katil..tahu-tahu dah pagi dan mentari mulai menyinar dengan terangnya. Nyaman sungguh rasanya bila ku terlihat lautan yang luas terbentang melalui tingkat bilik hotelku....Hobi ku sememangnya menatap lautan dan langit yang terbentang luas...tak pernah ku merasa jemu, sentiasa ianya memberiku ketenangan dan inspirasi...Berbagai bagai kenangan sentiasa berlegar diingatan. Indah dan aman! Suatu keajaiban...Suatu nikmat...Sesungguhnya KeEsaan Allah!

Ku lihat suamiku masih nyenyak dibuai mimpi..biarkan dia relaks dulu, kata ku sendirian. Tepat jam 9:00 pagi, ku kejutkan suamiku. Wah....puas dah tidur dan cukup rehatku, katanya. Itulah sebenar niatku bila ku bertegas untuk berhenti di Kemaman dan rehat. Memandu tu memenatkan apatah lagi bila usia sudah meningkat...ku tahu ada kalanya dia terlupa diri dan rasakan yang dia masih gagah lagi....! Itulah yang dinamakan LELAKI dan SUAMI! Ego masih besar lagi...hahhahha! Tak mengapa, asalkan dia bahagia!

Selepas menjamu selera kami meneruskan perjalanan. Suamiku singgah sebentar di Kemasik untuk menunaikan solat Jumaat. Aku pula duduk di wakaf yang terdapat dipersekitaran masjid untuk berehat. Walaupun cuaca di luar sungguh panas terik tetapi di wakaf udaranya sejuk dan nyaman. Terdapat sebuah keluarga yang sedang berehat dan menikmati makan tengahari di wakaf sebelahan. Enak sungguh mereka menjamu selera walaupun azan sudah berkumandang dan khutbah telah bermula. Ku lihat saja gelagat mereka. Si suami dan tiga orang anak lelakinya masih sibuk menikmati hidangan! Eeeh! Mereka tak terdengar ke seruan azan tadi dan kini khutbah jumaat yang sedang berkumandang...bisik hati kecil ku. Masih ramai lagi kaum Adam yang berlegar-legar di luar, di pondok motosikal ber bual berkumpulan...tiada yang menunjukkan hendak bergegas memenuhi ruang masjid...isykk....mengapa? Bukankah sepatutnya mereka duduk mendengar khutbah di dalam masjid...bukan bersembang di luar sana! Apa yang dah jadi dengan anak Melayu kita....camni ke solat jumaatnya? Persoalan itu bermainan dibenak kepala ku...nampaknya bertambah lemah ilmu agama mereka!

Tiba-tiba sekumpulan kanak-kanak lelaki berlarian ke wakaf ku dan bermain di situ. Ku tanya mengapa tak ke masjid mendengar khutbah jumaat...mereka kata penat dan asyik dimarahi guru mereka kerana berborak. "Memang benar tak boleh berborak semasa khutbah jumaat, kita mesti dengar khutbah itu," kataku kepada kanak-kanak itu lagi. "Mendengar khutbah adalah sebahagian dari solat jumaat," kataku lagi. Kanak-kanak berlapan itu diam saja. Kemudian salah seorang dari mereka berkata yang mereka hanya akan masuk bila iqamat nanti. Kelu lidah ku seketika. Nampaknya budak-budak sekarang tidak macam dulu, mendengar cakap orang tua. Tetapi nak ku salahkan mereka pun tak ada gunanya...sebab anak-beranak di wakaf sebelah masih menjamu selera tanpa mengendahkan khutbah yang berkumandang. Salah siapa?

Ku terus menasihati mereka...tapi biasalah budak-budak, suka mengikut kata berkumpulan...mereka terus bermain sehingga iqamat kedengaran...huuuuh! Ku lihat anak-beranak di wakaf sebelah baru membilas tangan dan meneguk minuman sebelum melangkah menuju ke masjid. Alhamdulillah!

Selesai solat jumaat, kami menyambung perjalanan sehingga ke Dungun. Suasana di kampus hampir lengang, hanya tinggal pelajar-pelajar yang mempunyai kertas peperiksaan pada hari itu yang masih belum pulang. Warga kampus yang lainnya telah pun pulang ke kampung halaman masing-masing.

Anakku mula memuatkan 3 buah beg yang sarat dengan pakaian dan buku ilmiahnya kedalam ruangan barangan dibelakang kereta. Sambil itu, dia meminta bapanya menghantarnya ke kafe berdekatan untuk mengambil komputer riba kepunyaan sahabatnya...eeh adakala anakku tu terlebih baik hati pula!

Selesai urusan dikampus, kami memulakan perjalanan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami singgah sebentar untuk makan ditepi pantai sebelum bertolak ke Kuantan. Desiran angin dan alunan ombak membelah pantai sungguh mengasyikkan! Ku menjamu selera dengan lahapnya..sedaaap! Seronok sungguh tak terkata.

Selepas puas menikmai hidangan kami terus berangkat pulang. Sesungguhnya, pekan Dungun menjadi pekan yang 'mati' pada hari Jumaat. Kebanyakkan kedai tutup melainkan gerai makanan. Niat suamiku untuk membeli kueh bahulu dan akok kegemarannya tidak kesampaian. Kami teruskan perjalanan.

Suamiku mengambil keputusan untuk menuju ke Pantai Tok Nik untuk membeli keropok ikan. Harganya boleh tahan dan rasa keropok lekor yang siap digoreng juga sedap. Seperti biasa, ku tidak melepaskan peluang untuk menikmati makanan. Benar-benar sedap!

Kami singgah sebentar di tepi wakaf yang menjual ketam nipah. Murah juga harganya; dari RM15 sekilo sehingga RM22-RM25 sekilo bergantung pada saiznya. Menurut penjualnya, ketam nipah ni boleh hidup selama 3 hari sekiranya direngiskan sedikit air. Sekira ingin dikekalkan kepadatan isinya, ketam ini hendaklah disimpan kedalam peti sejuk. Dengan itu, isinya takkan cair.

Sampai sahaja kami di Indera Mahkota, ku telah memberi sebahagian daripada ketam nipah yang ku beli untuk digulaikan. Adik iparku memang pandai memasak kari ketam....sedap sampai menjilat jari! Resipinya mudah.

1 kilo ketam yang dibersihkan
bawang besar, bawang putih, halia yang dikisar
penumis, daun kari
rempah kari ikan
santan
air asam jawa
garam

1. Tumiskan bahan-bahan penumis, masukkan bahan-bahan yang dikisar
2. Apabila wangi, masukkan rempah kari dan biarkan garing.
3. Masukkan air asam jawa dan santan.
4. Masukkan ketam dan garam secukup rasa. Biarkan pekat.

Resipi ini sedap dimakan bersama nasi atau roti.

Selesai makan malam dan selepas merehatkan badan seketika, kami memulakan pemanduan pulang ke Kuala Lumpur. Setibanya kami ke rumah, jam menunjukkan pukul 3:00 pagi. Genap seharian kami berjalan dari Kuala Lumpur-Dungun-Kuala Lumpur. Penat tapi menyeronokkan.



No comments:

Post a Comment