Tuesday 8 December 2009

Sarang Tebuan Jangan Dijolok...Sr 3

"Hah!" Kak Kiah dan Pak Abu menjawab spontan.

"Hei..Mizi, kau ni biar betul! Kau ingat bab kahwin ni boleh main-main ke? Ni...anak sape yang kau berkenan tu hah? Kenapa mak tak pernah jumpa dengan dia?" ujar Kak Kiah dengar nada yang garang.

"Kau jangan ingat nak kahwin dengan si Ana tu..ishk ke main gedik dan ligat aje budak tu....hah..hah si Lina tu pun mak tak berkenan..sama aje gediknye...silap hari bulan bila kau dah kahwin nanti, mak dengan ayah kau dihalau kuar...eh...takde maknanya mak nak bermenantukan dorang tu," ujar Kak Kiah lagi sambil mencemikkan mukanya.

"Takde le mak, mana Mizi nak kahwin dengan dorang tu! Dorang hanya boleh jadi kawan seronok-seronok aje...bukan untuk buat bini..!"Mizi menjawab sambil tergelak kecil.

"Bakal menantu mak tu orang Perak. Dia baik dan pandai agama. Mak tak payah susah-susah. Semuanya Mizi dah aturkan. Kita buat yang wajib aje" ujar Mizi lagi.

"Kami berdua tak mahu bersanding..tu adat orang India! Kami nak bernikah di Masjid dan kendurinya pun buat kat situ. Jadi mak tak payah nak susah-susah lagi. Tak payah nak fikir nak hias rumah, pasang khemah dan memasak. Kat masjid tu nanti, Mizi dah aturkan untuk katerer aje yang buat. Mak relaks aje!" kata Mizi lagi.

"Habis tu, tak payah nak merisik, bertunang..ni hantaran macam mana lak?" bentak Kak Kiah.

"Merisik tu, kita buat minggu depan ye Mak? Mizi dah beritahu kakak dia yang Mak akan datang minggu depan. Lepas tu kahwin pada hujung bulan. Sebenarnya mak, Mizi dah kata kat kakak dia yang duit hantaran tu tak payah banyak, setakat RM2500 jadilah dan sepersalinan aje. Lain tak payah, ' kata Mizi dengan megahnya.

Mizi merasa sungguh berpuas hati sebab dapat membuat segalanya dengan sendiri tanpa memerlukan pertolongan sesiapa pun. Lagi pun dengan cara sebegini, ibunya tak payah bersusah-payah membuat persiapan untuk perkahwinannya. Niatnya ikhlas, hendak bernikah dengan cara yang mudah tanpa upacara-upacara yang membazir dan mirip tamadun Hindu. Manakan tidak, menaiki pelamin dan ditepung-tawar adalah adat-adat orang-orang India belaka. Pada hematnya, biarlah ibunya dapat relaks dan dia bernikah di Masjid, lagi afdal.

Tercengang Kak Kiah mendengar penjelasan anak sulungnya. Manakan tidak, dia rasa tersisih! Adakah patut, peranan dan tugasan untuk menganjurkan majlis itu bukan untuknya? Adakah dia diumpamakan tunggul hidup dan bukan ibu kepada Mizi? Seribu satu macam persoalan bermain di kepala. Belum lagi kenal dan bersua, dia sudah mula membenci bakal menantunya itu. Sudah pasti, ini mesti kerjanya! Pandai sungguh dia mainkan peranan memanipulasi Mizi. Mizi tak akan buat seperti ini jika bukan didorong! Ya...punca ni semua adalah disebabkan oleh bakal menantunya! Siap..kamu!

"Mizi, siapa nama budak yang dah tambat hati kau ni? Dah le kau sorok dia, mak pun kau nak belakangkan!" jerkah Kak Kiah.

"Mana ada sorok..dia ni bukan suka bertandang ke rumah orang sembarangan. Mizi dah ajak, tapi dia berkeras tak nak, dia kata segan. Jadi, Mizi nak buat camne?" jawab Mizi selamba. Tidak langsung terdetik di hatinya akan perasaan ibunya, Kak Kiah. Dia lupa bahawa dia adalah anak sulung, manjaan dan harapan ibunya.

Mizi hanyut di dalam mimpi indah yang bersulam di sanubarinya ketika itu. Malah, langsung dia tidak perasan akan suasana tegang yang sedang menyelubungi ruang tamu itu. Kalau matanya boleh menembusi ruang kalbu ibunya pasti dia akan terlihat betapa robeknya hati ibunya itu. Tapi....

"Aik..belum apa-apa lagi dah nak tunjuk degil..! Yang kau ni ikut sangat cakap dia apa hal...dah termakan ke?" tempelak Kak Kiah. Puas ditelan rasa pahit hempedu pabila mendengar kata-kata anaknya itu. Sungguh tidak disangka!!! Hatinya robek! Terhiris dengan kata-kata anaknya yang bagaikan sembilu menusuk ruang hatinya itu.

"Mak ni apalah..suka cakap bukan-bukan. Eloklah dia tak suka bertandang kat rumah orang, jadi esok-esok pun tak pandai nak bertenggek merata tempat. Tasha tu baik mak. Betul..dia memang baik. Mizi dah berkenalan dengan ramai perempuan tapi takde satu pun yang setanding dengan dia" ujar Mizi lagi.

"Sebenarnya dia belum nak kahwin lagi, tapi Mizi yang desak dia sebab Mizi takut nanti ada orang lain yang masuk meminang dan kahwin dengannya. Mizi tak mahu melepas.." tegas Mizi lagi.

Pak Abu terus mendiamkan diri. Dia pandang sahaja ke arah anak sulungnya tanpa berkata apa-apa. Kak Kiah bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. Hatinya membuak-buak dengan kemarahan. Diurut dadanya perlahan-lahan agar dapat melegakan sedikit ketegangan yang dirasakan. Dia menarik nafas panjang sambil memegang bingkai pintu erat-erat.

"Kalau dia tak nak datang sekali pun, sekurang--kurangnya minta mak tengok gambar dia," ujar Kak Kiah. Nadanya kembali tenang tapi sayu....Api kemarahannya telah berganti dengan perasaan dingin...membeku, membatu...tiada lagi bersulamkan bunga-bunga kemesraan seperti dahulu! Hatinya dingin, lebih dingin dari bayu yang menghembus di kutub utara!

Mizi bergegas bangun menuju ke biliknya. Sebentar kemudian dia menghulurkan sekeping gambar ke arah Kak Kiah. Kak Kiah membelek-belek gambar yang berukuran kecil itu.

Apa yang Mizi nampak dalam budak ni...biasa saja rupanya! Di lihat wajah gadis yang telah berjaya menambat hati anaknya. Memang tiada keunikan langsung! Muka bulat, mata kecil dan menyerong persis orang cina tapi renungan yang tajam. Bibirnya tipis, raut mukanya menampakkan air muka seorang yang tegas.

"Habislah anak ku ni," bisik Kak Kiah dalam hatinya. "Nampak sangat Mizi akan kena 'queen control', tengoklah sekarang ni pun dah main ikut aje cakap pompuan tu. Tapi siap, kalau dia berani nak buli si Mizi, memang dia akan bertemu dengan ruasnya. Takkan ku biarkan anak aku dimainkan--mainkan oleh sesiapa sekali pun," tegasnya dalam hati lagi.

"Camne mak, dia okey kan?" tanya Mizi dengan muka yang mencerminkan harapan untuk mendengar yang terbaik. Kak Kiah terdiam sejenak. Diamati muka anaknya tu dengan renungan yang redup. Hmmm....

"Kalau kau dah suka, mak nak buat macam mana lagi. Tapi satu saja mak nak ingatkan, budak ni pilihan kau sendiri, bukan mak dan bukan ayah kau. Jadi, kalau ada apa-apa yang terjadi di belakang hari nanti, jangan cari mak atau ayah, jangan kau sesekali menyalahkan kami sebab mak dan ayah bukan memilihnya, Kau yang pilih dia. sendiri..ingat!!!!" tegas Kak Kiah. Dia memandang tepat ke arah Mizi dan menunggu jawapannya.

"Eleh...memang le! Takkan Mizi nak salahkan mak dan ayah pula. Tapi yang mak doakan yang bukan-bukan ni kenapa? Apa yang Tasha dah buat salah kat mak, jumpa mak pun tak lagi tapi mak dah cakap macam ni, seolah-olah macam dia dah bersalah dengan mak pula?" Mizi bertanya dengan penuh nada kesalan dan kehairanan.

Pak Abu mengeluh kecil. Dia tahu perasaan isterinya yang sudah terhiris. Dia sendiri pun merasa kesal. Tapi...Mizi telah membuat janji, suatu janji yang sekiranya tak dikotakan akan menjadi onak yang bernanah di dalam hati nanti. Biarlah dia dan isterinya berkorban demi nama baik Mizi dan mereka sekeluarga. Pembohong atau pendusta, tidak pernah menjadi ungkapan bagi mereka. Pak Abu membetul-betulkan kopiah di kepala sambil bersila kemas semula.


"Cukup le Kiah oii! Kalau si Mizi dah nak kahwin sangat dengan budak tu, tak mengapalah," tegas Pak Abu kepada isterinya dengan nada tenang tapi tegas. Kemudian, Pak Abu mengalihkan pandangan ke arah anak sulungnya itu.

"Bila kau cadang nak suruh mak dan ayah pi ke rumah kakak si-Tasha tu, Mizi?" tanya Pak Abu dengan nada perlahan dan memujuk.

"Kau kenalah beritahu cepat sikit, jadi boleh ayah panggil pakcik dan makcik kau suruh datang dan berbincang sebelum kita bertandang ke situ nanti, boleh kan Mizi?" tanya Pak Abu lagi.

"Sebenarnya, ayah..mak, Mizi dah janji yang ayah dan mak akan sampai hujung minggu ni juga. Kita tak payah le nak panggil ramai orang. Pak long dengan mak long aje pun dah cukup," ujar Mizi. Dia mula mencemikkan mukanya. Ishk! Kenapa nak kena beritahu ramai sangat orang. Alamak! Keluar lagi duit aku ni...bisik Mizi di dalam hati.

"Tak boleh macam tu Mizi. Kau anak sulung ayah dan mak. Lagipun kalau ayah panggil pak long dan Mak long kau saja, sudah tentu Pak Ngah, Pak Lang dan Pak Su kau akan kecil hati. Kita mesti bagi tahu dan ajak mereka. Kalau mereka tak dapat datang, tu takpe le. Sekurang-kurangnya mereka dah tahu. Dalam hal ni kita tak boleh nak membelakangkan sesiapa pun," ujar Pak Abu lagi.

Mizi terdiam sebentar. Dia takut hendak membantah walaupun dia tidak suka akan perancangan ayahnya itu. Dia terpaksa akur dengan keputusan ayahnya!

Hari yang dijanjikan tiba dan pergi. Kini, masa untuk diijabkabulkan. Megah sungguh perasaan Mizi apabila dapat melafazkan akad dengan sekali lafaz sahaja. Dia tersenyum gembira sambil mengucup dahi isterinya setelah menyerahkan wang mas kahwin dan menyarung sebentuk cincin berlian di jari manis Tasha.

Hah! Bermulalah kini episod cinta dan pelayaran bahtera rumah-tangga...bisik Mizi dalam hatinya. Bunga idaman berada dalam genggaman dan menjadi hak mutlaknya. Tiada lagi perlu dia merasa cuak setiap kali ada jejaka yang menyapa atau melintasi kubikel Tasha nanti. Tasha miliknya!

Kenduri yang diadakan di Masjid Kampung Gelam berjalan dengan sempurna. Ramai juga orang yang datang menyerikan majlis yang serba ringkas itu. Walaupun saudara-mara asyik bertanya perihal persandingan yang tidak diadakan, Mizi terus tersenyum riang dan tenggelam di dalam lautan kegembiraannya.

Kak Kiah tersenyum hambar melihat kelakuan Mizi dan menantunya, Tasha.

Entah dengan siapa dia bersalaman atau bersapa pun, Kak Kiah lupa. Malah, nama kakak-kakak dan saudara-mara Tasha, tiada satu pun yang melekat di kepala. Ehm...lantak, bukan mustahak pun! Tak perlu nak ingat, lagi pun entah bila akan bersua muka...kalau boleh sampai bila-bila tak mahu jumpa...bisik Kak Kiah di dalam hatinya.

Hmm...lantaklah! Siap kau Tasha, jangan kau cuba nak pisahkan Mizi dengan ibu bapanya. Jangan kau fikir hendak mengawalnya pula! Tak akan ku biarkan sampai bila-bila. Ini janjiku...kau siap sedia!


/bersambung...

No comments:

Post a Comment