Monday 14 December 2009

Terlajak perahu.....

Memang benar kata orang-orang tua, mudah untuk menjaga sekandang kambing dari menjaga anak dara seorang! Lebih-lebih lagi anak dara yang sedang mengecap erti kebebasan dan kedewasaan. Tatkala inilah pengaruh rakan sebaya amat ketara.

Perhubungan yang sedia terjalin di antara ibu-bapa dengan anak remajanya akan tercabar pada ketika ini. Sekiranya perhubungan mereka baik maka kegeseran yang mungkin terjadi amatlah tipis. Tetapi, sekiranya sudah terdapat jurang di antara mereka, pada kala inilah jurang itu akan melebar dan pergeseran pasti akan berlaku. Akibatnya, mereka tidak sanggup bersua muka, bersapa jauh sekali. Yang anak akan menghilangkan diri dari pandangan atau pengawasan ibu-bapa mereka. Mereka akan terus hanyut bersama rakan yang menjadi tempat mereka mengadu dan meluahkan perasaan. Sekiranya rakan yang didampingi merupakan mereka yang baik-baik, maka terselamatlah anak itu.

Malangnya, tatkala inilah kebanyakan anak-anak muda sedang sibuk untuk mencuba perkara yang baru, perkara yang tidak terlintas semasa mereka masih lagi dibangku sekolah. Yang perempuan dan pandai main mata dan hati sementara yang lelaki melayan dan tunjuk macho...Di sebalik perbuatan mereka, tidak terlintas akan halal dan haram. Oleh kerana kebanyakan anak-anak muda melakukannya, maka apa jua perlakuan itu adalah okay bagi mereka!


Di manakah garis pemisahnya? Jawapannya....pendidikan agama yang telah diberi, tunjuk-ajar dan nasihat dari kedua ibu-bapa dan diri anak-anak itu sendiri. Bagi anak-anak muda ini, perlakuan mereka akan mencorak masa hadapan dan menentukan arah tuju penghidupan mereka. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata atau perbuatan badan binasa!


Mungkin ada yang menyatakan bahawa percaturan hidup yang dilakukan oleh anak-anak muda ini merupakan garis kitaran hidup seseorang individu dari awal mereka dilahirkan hinggalah ke akhir hayat mereka. Jadi, sudah pastinya mereka akan menempuh pelbagai situasi yang harus dirungkai sendiri!


Namun begitu, sebagai ibu-bapa yang telah matang, yang pernah melalui zaman remaja dan mengerti akan cabaran dan dugaan yang menggugat keimanan seseorang itu sudah pastinya ingin menjadi 'penyelamat' dan melindungi anak remaja mereka dari terjebak ke jalan yang tidak 'selamat'.


Tetapi, adakah tindakan ibu-bapa ini disenangi oleh anak-anak remaja ini? Tentu sekali TIDAK! Sebaliknya tindakan ibu-bapa ini sering disalah ertikan. Mereka dilabelkan sebagai 'tyrant' atau penzalim, diktator, pembuli, hipokrit dan ketinggalan zaman.


Memang adakalanya ibu-bapa terpaksa mendesak, berkeras dan menghalang anak-anak remaja mereka dari melakukan sesuatu tindakan. Semuanya atas dasar perasaan kasih mereka terhadap anak-nya. Mereka tidak mahu melihat masa depan anak-remaja ini punah atau dibayangi oleh lakaran hitam yang tidak mungkin boleh dipadamkan sepanjang hayat nanti. Jangan biar nasi menjadi bubur, walau pun patah tumbuh hilang berganti...ianya tidak akan serupa!


Buat anak-anak remaja di luar sana, ingatlah kasih-sayang ibu tiada batasnya. Ibu-bapa hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Selagi nyawa dikandung badan, mereka akan cuba berikan segala-galanya. Pengorbanan mereka tidak bersempadan! Sayangi dan kasihi mereka sebab yang remaja akan meniti usia tua juga akhirnya.


No comments:

Post a Comment