Tuesday, 8 December 2009

Sarang Tebuan Jangan Dijolok...Sr 3

"Hah!" Kak Kiah dan Pak Abu menjawab spontan.

"Hei..Mizi, kau ni biar betul! Kau ingat bab kahwin ni boleh main-main ke? Ni...anak sape yang kau berkenan tu hah? Kenapa mak tak pernah jumpa dengan dia?" ujar Kak Kiah dengar nada yang garang.

"Kau jangan ingat nak kahwin dengan si Ana tu..ishk ke main gedik dan ligat aje budak tu....hah..hah si Lina tu pun mak tak berkenan..sama aje gediknye...silap hari bulan bila kau dah kahwin nanti, mak dengan ayah kau dihalau kuar...eh...takde maknanya mak nak bermenantukan dorang tu," ujar Kak Kiah lagi sambil mencemikkan mukanya.

"Takde le mak, mana Mizi nak kahwin dengan dorang tu! Dorang hanya boleh jadi kawan seronok-seronok aje...bukan untuk buat bini..!"Mizi menjawab sambil tergelak kecil.

"Bakal menantu mak tu orang Perak. Dia baik dan pandai agama. Mak tak payah susah-susah. Semuanya Mizi dah aturkan. Kita buat yang wajib aje" ujar Mizi lagi.

"Kami berdua tak mahu bersanding..tu adat orang India! Kami nak bernikah di Masjid dan kendurinya pun buat kat situ. Jadi mak tak payah nak susah-susah lagi. Tak payah nak fikir nak hias rumah, pasang khemah dan memasak. Kat masjid tu nanti, Mizi dah aturkan untuk katerer aje yang buat. Mak relaks aje!" kata Mizi lagi.

"Habis tu, tak payah nak merisik, bertunang..ni hantaran macam mana lak?" bentak Kak Kiah.

"Merisik tu, kita buat minggu depan ye Mak? Mizi dah beritahu kakak dia yang Mak akan datang minggu depan. Lepas tu kahwin pada hujung bulan. Sebenarnya mak, Mizi dah kata kat kakak dia yang duit hantaran tu tak payah banyak, setakat RM2500 jadilah dan sepersalinan aje. Lain tak payah, ' kata Mizi dengan megahnya.

Mizi merasa sungguh berpuas hati sebab dapat membuat segalanya dengan sendiri tanpa memerlukan pertolongan sesiapa pun. Lagi pun dengan cara sebegini, ibunya tak payah bersusah-payah membuat persiapan untuk perkahwinannya. Niatnya ikhlas, hendak bernikah dengan cara yang mudah tanpa upacara-upacara yang membazir dan mirip tamadun Hindu. Manakan tidak, menaiki pelamin dan ditepung-tawar adalah adat-adat orang-orang India belaka. Pada hematnya, biarlah ibunya dapat relaks dan dia bernikah di Masjid, lagi afdal.

Tercengang Kak Kiah mendengar penjelasan anak sulungnya. Manakan tidak, dia rasa tersisih! Adakah patut, peranan dan tugasan untuk menganjurkan majlis itu bukan untuknya? Adakah dia diumpamakan tunggul hidup dan bukan ibu kepada Mizi? Seribu satu macam persoalan bermain di kepala. Belum lagi kenal dan bersua, dia sudah mula membenci bakal menantunya itu. Sudah pasti, ini mesti kerjanya! Pandai sungguh dia mainkan peranan memanipulasi Mizi. Mizi tak akan buat seperti ini jika bukan didorong! Ya...punca ni semua adalah disebabkan oleh bakal menantunya! Siap..kamu!

"Mizi, siapa nama budak yang dah tambat hati kau ni? Dah le kau sorok dia, mak pun kau nak belakangkan!" jerkah Kak Kiah.

"Mana ada sorok..dia ni bukan suka bertandang ke rumah orang sembarangan. Mizi dah ajak, tapi dia berkeras tak nak, dia kata segan. Jadi, Mizi nak buat camne?" jawab Mizi selamba. Tidak langsung terdetik di hatinya akan perasaan ibunya, Kak Kiah. Dia lupa bahawa dia adalah anak sulung, manjaan dan harapan ibunya.

Mizi hanyut di dalam mimpi indah yang bersulam di sanubarinya ketika itu. Malah, langsung dia tidak perasan akan suasana tegang yang sedang menyelubungi ruang tamu itu. Kalau matanya boleh menembusi ruang kalbu ibunya pasti dia akan terlihat betapa robeknya hati ibunya itu. Tapi....

"Aik..belum apa-apa lagi dah nak tunjuk degil..! Yang kau ni ikut sangat cakap dia apa hal...dah termakan ke?" tempelak Kak Kiah. Puas ditelan rasa pahit hempedu pabila mendengar kata-kata anaknya itu. Sungguh tidak disangka!!! Hatinya robek! Terhiris dengan kata-kata anaknya yang bagaikan sembilu menusuk ruang hatinya itu.

"Mak ni apalah..suka cakap bukan-bukan. Eloklah dia tak suka bertandang kat rumah orang, jadi esok-esok pun tak pandai nak bertenggek merata tempat. Tasha tu baik mak. Betul..dia memang baik. Mizi dah berkenalan dengan ramai perempuan tapi takde satu pun yang setanding dengan dia" ujar Mizi lagi.

"Sebenarnya dia belum nak kahwin lagi, tapi Mizi yang desak dia sebab Mizi takut nanti ada orang lain yang masuk meminang dan kahwin dengannya. Mizi tak mahu melepas.." tegas Mizi lagi.

Pak Abu terus mendiamkan diri. Dia pandang sahaja ke arah anak sulungnya tanpa berkata apa-apa. Kak Kiah bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. Hatinya membuak-buak dengan kemarahan. Diurut dadanya perlahan-lahan agar dapat melegakan sedikit ketegangan yang dirasakan. Dia menarik nafas panjang sambil memegang bingkai pintu erat-erat.

"Kalau dia tak nak datang sekali pun, sekurang--kurangnya minta mak tengok gambar dia," ujar Kak Kiah. Nadanya kembali tenang tapi sayu....Api kemarahannya telah berganti dengan perasaan dingin...membeku, membatu...tiada lagi bersulamkan bunga-bunga kemesraan seperti dahulu! Hatinya dingin, lebih dingin dari bayu yang menghembus di kutub utara!

Mizi bergegas bangun menuju ke biliknya. Sebentar kemudian dia menghulurkan sekeping gambar ke arah Kak Kiah. Kak Kiah membelek-belek gambar yang berukuran kecil itu.

Apa yang Mizi nampak dalam budak ni...biasa saja rupanya! Di lihat wajah gadis yang telah berjaya menambat hati anaknya. Memang tiada keunikan langsung! Muka bulat, mata kecil dan menyerong persis orang cina tapi renungan yang tajam. Bibirnya tipis, raut mukanya menampakkan air muka seorang yang tegas.

"Habislah anak ku ni," bisik Kak Kiah dalam hatinya. "Nampak sangat Mizi akan kena 'queen control', tengoklah sekarang ni pun dah main ikut aje cakap pompuan tu. Tapi siap, kalau dia berani nak buli si Mizi, memang dia akan bertemu dengan ruasnya. Takkan ku biarkan anak aku dimainkan--mainkan oleh sesiapa sekali pun," tegasnya dalam hati lagi.

"Camne mak, dia okey kan?" tanya Mizi dengan muka yang mencerminkan harapan untuk mendengar yang terbaik. Kak Kiah terdiam sejenak. Diamati muka anaknya tu dengan renungan yang redup. Hmmm....

"Kalau kau dah suka, mak nak buat macam mana lagi. Tapi satu saja mak nak ingatkan, budak ni pilihan kau sendiri, bukan mak dan bukan ayah kau. Jadi, kalau ada apa-apa yang terjadi di belakang hari nanti, jangan cari mak atau ayah, jangan kau sesekali menyalahkan kami sebab mak dan ayah bukan memilihnya, Kau yang pilih dia. sendiri..ingat!!!!" tegas Kak Kiah. Dia memandang tepat ke arah Mizi dan menunggu jawapannya.

"Eleh...memang le! Takkan Mizi nak salahkan mak dan ayah pula. Tapi yang mak doakan yang bukan-bukan ni kenapa? Apa yang Tasha dah buat salah kat mak, jumpa mak pun tak lagi tapi mak dah cakap macam ni, seolah-olah macam dia dah bersalah dengan mak pula?" Mizi bertanya dengan penuh nada kesalan dan kehairanan.

Pak Abu mengeluh kecil. Dia tahu perasaan isterinya yang sudah terhiris. Dia sendiri pun merasa kesal. Tapi...Mizi telah membuat janji, suatu janji yang sekiranya tak dikotakan akan menjadi onak yang bernanah di dalam hati nanti. Biarlah dia dan isterinya berkorban demi nama baik Mizi dan mereka sekeluarga. Pembohong atau pendusta, tidak pernah menjadi ungkapan bagi mereka. Pak Abu membetul-betulkan kopiah di kepala sambil bersila kemas semula.


"Cukup le Kiah oii! Kalau si Mizi dah nak kahwin sangat dengan budak tu, tak mengapalah," tegas Pak Abu kepada isterinya dengan nada tenang tapi tegas. Kemudian, Pak Abu mengalihkan pandangan ke arah anak sulungnya itu.

"Bila kau cadang nak suruh mak dan ayah pi ke rumah kakak si-Tasha tu, Mizi?" tanya Pak Abu dengan nada perlahan dan memujuk.

"Kau kenalah beritahu cepat sikit, jadi boleh ayah panggil pakcik dan makcik kau suruh datang dan berbincang sebelum kita bertandang ke situ nanti, boleh kan Mizi?" tanya Pak Abu lagi.

"Sebenarnya, ayah..mak, Mizi dah janji yang ayah dan mak akan sampai hujung minggu ni juga. Kita tak payah le nak panggil ramai orang. Pak long dengan mak long aje pun dah cukup," ujar Mizi. Dia mula mencemikkan mukanya. Ishk! Kenapa nak kena beritahu ramai sangat orang. Alamak! Keluar lagi duit aku ni...bisik Mizi di dalam hati.

"Tak boleh macam tu Mizi. Kau anak sulung ayah dan mak. Lagipun kalau ayah panggil pak long dan Mak long kau saja, sudah tentu Pak Ngah, Pak Lang dan Pak Su kau akan kecil hati. Kita mesti bagi tahu dan ajak mereka. Kalau mereka tak dapat datang, tu takpe le. Sekurang-kurangnya mereka dah tahu. Dalam hal ni kita tak boleh nak membelakangkan sesiapa pun," ujar Pak Abu lagi.

Mizi terdiam sebentar. Dia takut hendak membantah walaupun dia tidak suka akan perancangan ayahnya itu. Dia terpaksa akur dengan keputusan ayahnya!

Hari yang dijanjikan tiba dan pergi. Kini, masa untuk diijabkabulkan. Megah sungguh perasaan Mizi apabila dapat melafazkan akad dengan sekali lafaz sahaja. Dia tersenyum gembira sambil mengucup dahi isterinya setelah menyerahkan wang mas kahwin dan menyarung sebentuk cincin berlian di jari manis Tasha.

Hah! Bermulalah kini episod cinta dan pelayaran bahtera rumah-tangga...bisik Mizi dalam hatinya. Bunga idaman berada dalam genggaman dan menjadi hak mutlaknya. Tiada lagi perlu dia merasa cuak setiap kali ada jejaka yang menyapa atau melintasi kubikel Tasha nanti. Tasha miliknya!

Kenduri yang diadakan di Masjid Kampung Gelam berjalan dengan sempurna. Ramai juga orang yang datang menyerikan majlis yang serba ringkas itu. Walaupun saudara-mara asyik bertanya perihal persandingan yang tidak diadakan, Mizi terus tersenyum riang dan tenggelam di dalam lautan kegembiraannya.

Kak Kiah tersenyum hambar melihat kelakuan Mizi dan menantunya, Tasha.

Entah dengan siapa dia bersalaman atau bersapa pun, Kak Kiah lupa. Malah, nama kakak-kakak dan saudara-mara Tasha, tiada satu pun yang melekat di kepala. Ehm...lantak, bukan mustahak pun! Tak perlu nak ingat, lagi pun entah bila akan bersua muka...kalau boleh sampai bila-bila tak mahu jumpa...bisik Kak Kiah di dalam hatinya.

Hmm...lantaklah! Siap kau Tasha, jangan kau cuba nak pisahkan Mizi dengan ibu bapanya. Jangan kau fikir hendak mengawalnya pula! Tak akan ku biarkan sampai bila-bila. Ini janjiku...kau siap sedia!


/bersambung...

Friday, 4 December 2009

Sarang Tebuan Jangan Dijolok...Sr 2

"Tu, yang itu menantu Kak Kiah ye? Ishk...bukan ape Kak Kiah, dia tu nampak biase-biase aje...ingat dia lagi cantik dari si-Lina yang Kak Kiah berkenan tu!" bisik Mak Su.

Dup!dup!dup!..jantungku berdegup kencang. Cemas. Berdesing telingaku mendengar kata-kata yang pedas itu. Siapa dia? Apa ikatannya dengan Mak Mizi? Oooh...Mak Mizi..eh..eh.mak mertuaku dah ada calonnya sendiri! Kenapa Mizi tak bagitau awal-awal lagi? Aaaaaah! nampaknya aku terpaksa kerje keras untuk ambil hatinya.

"Tengok le tu...mana si Mizi tak cari lain...bukan tahu nak ambil hati laki...hmm hati mak ni..hah jauh sekali" herdik mak mertuaku.

"Tasha...Tasha...hoi..kau dengar tak mak cakap ape?" jerkah mak mertua. Terpinga-pinga. Cepat betul aku mengelamun. Enam pasang mata memandangku.

"Tak mak! Mak cakap ape tadi? Kepala Tasha ni sakit sikit" kataku sambil memicit dahi dan tengkok. Alamak! cepat betul aku mengelamun. Tapi, manakan tidak..aku benar-benar tersepit sekarang. Sekarang aku berada dipersimpangan hidup. Apa jua langkah yang ku ambil akan membawa kepada suatu perjalanan hidup yang berbeza. Bukan seperti dahulu lagi!

"Mak! Tasha benar2 sayang pada anak2 Tasha dan akan terus menyayangi mereka. Begitu juga dengan Abang Mizi. Tapi mak, sebagai seorang perempuan Tasha tak sanggup lagi hidup dengan kepura-puraan," kata Tasha dengan nada yang penuh sayu.

"Abang Mizi dah banyak berubah Mak, tak macam dulu lagi. Tasha rela melepaskan nya, asalkan dia bahagia. Tapi Mak...Tasha ada juga maruah diri. Tasha tak pernah menduakannya atau melupakan tanggung jawab Tasha sebagai isteri dan seorang ibu. Tasha tahu akan halal dan haram , Mak!" jelas Tasha lagi.

Benar, banyak telah berubah. Mizi yang dahulunya sangat penyayang, periang dan selalu bergaul-rapat dengan anak-anak kini sudah janggal, seperti orang luar sahaja kelakuannya. Dia jarang pulang ke rumah dan tidak menghiraukan lagi tanggung-jawabnya sebagai ketua keluarga.

Mizi sekarang sudah kembali muda! Dia bukan lagi berumur 50 tahun tapi sudah melangkah ke alam remaja kembali...kembali 20an. Betul lagaknya persis ayam jantan yang baru tajam tajinya, menari-nari tarian memikat dengan kokokan mengurat. Hmmm!

Tasha tersenyum sepi berulam sedih. Ya! Sejak bergelar pensyarah, Mizi sudah kembali menjadi muda. Maklumlah, anak muridnya muda-muda belaka dan dia benar-benar ingin untuk diterima dan tergulung sebagai seorang muda juga. Baginya, umur adalah angka tapi perasaan dan tingkah-laku mesti menampakkan kemudaan diri.

Ya..Mizi dulu dan Mizi sekarang sangat jauh berbeza seperti langit dan bumi! Semasa baru pulang dari Tanah Suci, dia tak pernah tinggal solat dan sering menjadi imam dirumah. Dia akan memastikan anak-anak semua turut mengerjakan solat bersama-sama. Kini ...tidak!

"Mak, Tasha benar-benar minta ampun dengan mak. Tasha dah tak boleh hidup bersama Abang Mizi lagi. Demi anak-anak dan kewarasan Tasha, Tasha rela dilepaskan. Tasha akan bawa haluan hidup yang lain bersama anak-anak. Biarlah Abang Mizi mulakan hidup baru tanpa terikat dengan ikatan yang lalu. Tasha akan menjaga anak-anak Tasha sebaik mungkin. Insya Allah, dengan restu dan doa mak dan juga pertolongan Illahi yang tiada penghujungnya, anak-anak akan dapat kehidupan yang sempurna dan tenteram, " ujar Tasha lagi.

Kak Kiah mendengus. Dia gembira dengan keputusan Tasha. Hah! Padan muka kau. Dari dulu lagi memang aku tak suka pun dengan kau. Tak kira le banyak mana anak kau berderet didepan aku, aku tetap takkan suka pada kau..mendengus Kak Kiah dalam hatinya.

Iyelah..entah apa sangat yang ada dengan Tasha yang membuatkan Mizi tergila-gila sangat hendakkannya. Nak pandang sebelah mata pun aku tak lalu...bisik Kak Kiah didalam hatinya. Dia sendiri kurang faham mengapa dia terlalu prejudis terhadap menantunya yang seorang ni. Mungkin kerana dia rasa terpinggir bila Mizi membuat keputusan untuk menikahi Tasha tanpa meminta pandangan dan pendapatnya dahulu.

Mana tak terbakar hati aku, tahu-tahu aje Mizi kata nak kahwin dengan pilihan hatinya dalam tempuh sebulan. Peristiwa itu masih lagi segar bermain dibenak kepalanya.

" Mak, Ayah..hujung bulan September ni Mak dan Ayah dapat menantu!"ujar Mizi dengan nada penuh keriangan dan dramatis sekali.


/bersambung...

Friday, 27 November 2009

Sarang Tebuan Jangan Dijolok...Sr 1

"Kan mak dah cakap dari dulu, kalau korang bergaduh ke atau bercerai ke..jangan korang cari mak...dari dulu lagi memang mak tak berapa setuju ...tapi dah kau nak sangat kahwin dengan dia..tanggung le sendiri, mak tak tahu!!!!..." leter ibu mertua Tasha.

Tasha terkedu. Dari dahulu lagi sememangnya dia tahu bahawa ibu mertuanya memang kurang senang dengan dirinya. Dia melirik kearah anak-anaknya yang berlima. Mereka diam sahaja. Di lihat anak sulungnya menggetapkan bibirnya menahan kesabaran sambil membuku lima tangannya. Tasha mengelengkan kepalanya sedikit dan mengisyaratkan dengan matanya agar anak lelakinya yang terkenal dengan barannya mendiamkan diri. Yang lainnya diam, membatu!

Dia terus merenung wajah mertuanya dengan sayu. Jauh disudut hatinya dia tahu akan kebenaran kata-kata mertuanya. Walaupun umur perkahwinannya dengan Mizi dah menjangkau 15 tahun tapi kemesraan mertua yang diimpikan masih lagi belum dikecapi. Seringkali dia diketepikan, pandangannya tak pernah ditanya ..jauh sekali untuk diambil kira. Dia pasrah dengan kehidupan rumahtangganya. Tapi...............

Leteren ibu mertuanya dah disematkan jauh dari benak pendengarannya..diumpamakan seperti nyamuk yang tak henti-henti mengiang di cuping telinga. Tasha mengelamun, mengimbas kembali detik detik dia mengenali suaminya. Hmmmn..........

"Sha, kau tengok tu... yang itu. Lagi tadi dia asyik curi-curi pandang you le! Boleh tahan juga rupa dia, tinggi dan badannya pun ..hmmm best, s a s a!" ujar Nina. Ku menyorot pandangan ku kearah jejaka yang sedang membelek-belek majalah disudut redaksi.

Oh! dia rupanya...Sememangnya aku pernah terserempak dengannya sekali-sekala, maklumlah bekerja dibawah satu bumbung yang sama. Setahu aku, dia seorang wartawan dan sering membuat liputan mengenai hal ehwal semasa. Kalau tak silap, namanya Mizi. Aku..hah...aku pula bekerja di bahagian penyuntingan dan penterjemahan.

Memang Mizi boleh dikatakan kacak juga orangnya, tapi pendiam sedikit. Dia bukan dalam klik ku. Geng-geng aku ada sedikit gila-gila. Kami rugged, ekstrovert, dan suka membuat perkara-perkara yang tak pernah terfikir oleh orang lain. Ialah, ada masanya kami berpakaian macam minah mat salleh yang sesat kat Malaysia. Bukan ape, kami akan memakai skirt ketat lagi pendek, rambut dicelup warna perang atau perang muda, muka bertata rias dengan solekan terkini, skaf kecil berlilit di leher dan bertopi beret. Bagi kami, baju melayu memang tiada dalam kamus hidup kami. Kami Moden!

Masih ku ingat lagi cara-cara Mizi memikat aku. Bermula dengan bunga-bungaan, coklat, buku dan kad-kad yang sungguh menghiburkan. Sememangnya dia seorang pemikat burung yang pandai sebab lama-kelamaan ku terpikat dengannya. Pandai dia menjinakkan ku!

Percintaan kami sungguh hangat dan romantis sekali. Hatiku sentiasa berdebar-debar bila berhadapan dengannya. Adakalanya kelu juga untuk berkata-kata. Pandai sungguh dia mengayat kata-kata manis yang akhirnya berjaya menamatkan zaman bujang ku.

Aku tidak pernah diperkenalkan kepada keluarganya melainkan adik bongsunya. Itu pun secara kebetulan sebab terserempak semasa makan di Bangsar. Selang enam bulan berkenalan pihak keluarga Mizi sudah datang merisik dan terus menetapkan tarikh perkahwinan. Walaupun tempoh diberi sungguh singkat, cuma dua bulan sahaja, keluargaku akur dengan kehendak keluarga Mizi. Kami tidak pernah bekeras sehinggakan wang hantaran, mereka juga yang menentukan.

Bila ku imbas kembali detik2 itu, ku terasa diriku ini sungguh bodoh sekali. Mana tidaknya, setiap langkah dan tindakan yang hendak diambil semuanya ditentukan oleh pihak keluarga Mizi. Keluarga ku langsung tidak bersuara.

"Betul kamu nak bernikah dengan Mizi? Ingat ye, bila kamu menikahinya bermaksud kamu akan menerima kesemua ahli keluarga dan saudara-mara Mizi dengan seadanya. Fikirlah baik-baik. Langkah ni adalah penentu masa depan kamu dan apabila dah dibuat, tiada lagi boleh berpatah balik" ujar Kak Ani. Pada masa tu, aku langsung tidak mengupas kata-kata kakak sulungku. Dunia ini bagaikan suatu hamparan bunga yang indah lagi mengharum. Maklumlah sedang bercinta!

Sepatutnya aku sudah terhidu akan sikap angkuh keluarganya yang mementingkan diri sendiri. Walaupun kami adik-beradik tiada lagi tempat berpaut sebab kematian ibu dan bapa, adalah tidak wajar kami diperlekehkan sebegitu. Tapi, itu adalah lumrah alam. Tiada siapa yang akan membela bila tunjang seri kita telah tiada. Ya, tunjang seri kami adalah ibu bapa kami yang tercinta!

Pernikahan dan kenduri kesyukuran kami dibuat di Masjid Kampung Gelam. Disana lah,buat pertama kali ku melihat ibu mertuaku. Orangnya rendah, berbadan kecil lagi kurus dan mukanya runcing. Dalam hati kecilku terdetik menyamakannya dengan burung gagak...eh eh ..burung tiong!

"Psst...dia tu ke orangnye?".........






/bersambung...

Monday, 7 September 2009

SELAMAT MELANGKAH KE SYAWAL

Detik masa berlalu tanpa menghirau sesiapa, yang tertunggu-tunggu tetap akan menunggu sementara yang mengejar setiap saat yang berlalu akan terus mengejarnya tanpa rasa penat atau jemu...mereka adalah insan yang tahu mengharga masa. Begitulah dengan Ramadhan ini..sudah hampir sampai kepenghujungnya dan selang beberapa hari lagi syawal akan menjelma.

Banyak perkara yang bermain dibenak kepalaku...adakah aku akan berjumpa lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan....adakah apa yang aku lakukan selama ini sudah cukup atau masih ada banyak ruang untuk dipenuhi dengan amalan....Rasanya ruang-ruang itu akan sentiasa ada selagi digelar insan dan selagi masih bernyawa lagi....Banyak benda yang harus dilakukan semasa kita masih hidup...bagiku kehidupan adalah suatu pencarian ilmu dan amalan yang tiada batasan dan penghujungnya, hanya sesudah nafas yang terakhir dihembuskan barulah pencarian dan pengumpulan itu tertutup buat selama-lamanya.

Harapan dan doaku selama ini hanyalah untuk diberikan taufik dan hidayah juga petunjuk kejalan yang benar oleh Allah s.w. dan semoga segala amalan diterima. Semoga anak-anak ku menjadi anak yang soleh dan kami sekeluarga dijauhi dari apa jua kesusahan atau godaan. Semoga kami semua tergolong dalam golongan mereka yangberiman dan dikasihi oleh Allah s.w. Ku juga berdoa menjadi isteri yang solehah dan sentiasa mentaati suamiku. Inilah harapan dan doaku selama ini semoga dikabulkan Allah s.w.

Banyak perkara telah berlaku pada Ramadhan ini, ada kesedihan, kepayahan, kekecewaan dan keinsafan. Bagiku yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk adalah perbuatan manusia itu sendiri. Semoga syawal yang mendatang ini membawa satu sinar harapan dan kebahagian buat semua. Marilah buka lembaran baru pada syawal ini, lupakan yang keruh ambil yang jernih dan buatlah 1 syawal ini titik permulaan bagi suatu perjalanan yang dirahmati dan diberkati Allah jua.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN BUAT SEMUA.


Wednesday, 2 September 2009

Nasi Bukhari

Resipi ini diajar oleh sahabat saya Sheikh Aziz dan isterinya, Zainab

NASI BUKHARI

Bahan

2 tin beras bhasmati maharani (direndam 1 jam)
1 ekor ayam, dipotong besar
3 sb minyak zaitun
2 biji bawang besar, dihiris
1 tin lobak merah (hiris halus)
1 1/4 tin air
1 sb jintan halus, ditumbuk halus
kismis, kunyit, gula, safron (koma-koma), garam

Cara

1. Ayam dipotong besar, dibersihkan, digaul bersama serbuk kunyit dan garam. Goreng hingga kuning.
2. Panas minyak zaitun dalam periuk. Tumiskan bawang besar hinga layu.
3. Masukkan hirisan lobak merah dan goreng lagi hingga lembut. Kemudian masukkan air dan garam.
4. Bila mendidih, masukkan beras dan minyak zaitun lagi.
5. Bila hampir kering, masukkan ayam goreng tadi dan tanamkan dalam nasi.
6. Bila nasi kering, taburkan kismis, safron, jintan halus (tumbuk), minyak zaitun dan gula.
7. Biar masak dan jangan dibuka tutupnya sehingga hendak dihidang.

(tip: minyak zaitun, memotong rasa cepat muak. Gula pula membuat nasi itu menjadi berulas)

Resipi coklat chip

Tak lama lagi dah nak raya...jadi terasa pulak nak berkongsi resipi yang ssesedap coklat famous amos...tak caya cuba lah...

BISKUT CHOKLAT CHIP

Bahan

3 1/2 cawan tepung naik sendiri
1 (250gm) mentega
1 cawan gula kastor
1 cawan gula perang
1 biji telur
200gm chip coklat
3 sb serbuk koko
1 sk esen vanila
kismis, cashew nut, hazelnut (optional)

Cara

1. Pukul mentega bersama gula hingga kembang.
2. Masukkan telur, esen vanila dan pukul sedikit lagi.
3. Masukkan bahan2 kering (tepung, koko, kekacang (jika diguna), chip coklat) dan digaul rata.
4. Kemudian bentukkan adunan ini berbentuk bola yang tajam sedikit keatas. Bakar dalam ketuhar.

Peringatan: tujuan adunan dibentuk bebola yang berbukit sedikit kerana biskut ini akan mengembang dan meleper. Dengan adanya puncak itu, biskut ini akan mempunyai bentuk yang cantik. Sekiranya mentega itu terlebih pukul dan kembang, adunan akan menjadi sedikit cair. Maka, sudu boleh digunakan untuk membentuk biskut ini (drop cookies method).



Dilema

Setiap kali pendapat ku dipinta mengenai sesuatu isu fikiran ku akan bercelaru mencari jawapan yang tepat. Tapi adakah jawapan yang ku beri itu benar-benar yang terbaik buatnya??? Buntu...sebenarnya ku buntu!!! Sebabnya, apa yang terbaik ku fikirkan mungkin bukan yang terbaik buat dirinya...jadi siapalah aku untuk menasihatinya...setakat seorang kawan yang boleh dibawa berbincang...untuk mendengar segala kelohan ..dan untuk meminjamlan bahu tatkala menangis!!! Ya...itulah sebenarnya diriku....semuanya demi satu persahabatan.

Tapi....bagaimana pula dengan diriku...adakah sesiapa diluar sana yang sanggup mendengar keluhan perasaan yang ku pendam selama ini....???? Pada hematku hanya saorang saja yang boleh ku ceritakan segalanya...tapi adakah ku akan berbuat demikian...mungkin tidak!!!!

Aku akan tetap dengan diriku yang suka memendam rasa, berbicara sendirian didalam benak kepalaku ...aku tak mudah untuk berbicara dengan sesiapa..bukan sifatku untuk berbuat demikian walaupun buat teman yang karib!!

Heheheh...aku memang suka solo, cari jawapan solo, bermasalah pun solo....kenapa kau tanya??? sebab aku tidak mahu sesiapa pun tahu akan kekurangan ku ataupun apa pemasalahanku...yep! that's it...i'm a lone ranger!

Tapi..bagi ku setiap kebuntuan ada jalan nya..cuma kita kena berusaha mencari jawapan nya..sentiasa melapangkan diri, bermuhasabah dan fikir secara positif. Yang pastinya..every cloud has a silver lining...yang kusut dileraikan dan pastinya tiada kekusutan lagi.

Sentiasa berdoa kepada Yang Maha Esa agar diberi petunjuk juga taufik dan hidayah...semoga diterangkan hati, dilapangkan fikiran. Sekiranya masih buntu, ambillah wuduk dan sembahyang hajat atau istikharah saja. Rajin-rajinlah membaca al-Quran kerana ianya memang memberi ketenteraman yang tak terhingga juga menenangkan hati yang gundah-gulana. InsyaAllah....